Menyingkap asal usul perasaan cinta, kasih dan sayang yang wujud dalam hati manusia, pasti kita sebagai umat Islam terkenang akan kisah Nabi Adam AS dan pasangan syurganya Siti Hawa. Manusia pertama yang dicipta Allah SWT adalah insan bernama nabi Adam AS
Tatkala Allah SWT mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk yang lain, maka diciptaNya Adam sebagai manusia yang pertama. Makhluk bernama Adam yang dimuliakan darjatnya itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga. Syurga yang indah dan lengkap dengan apa jua yang diingini bersama segala keindahan dan kesenangan di dalamnya.
Ketika hidup bersendirian, Nabi Adam AS mula merasa kesunyian walaupun dihidangkan dengan pelbagai nikmat syurga. Nabi Adam tiada teman yang boleh berkongsi segalanya. Itulah satu-satunya kekurangan yang dirasakan Adam AS di dalam syurga.
Adam AS perlukan teman sejenis yang boleh mendampinginya dalam menikmati keindahan syurga yang tidak yang tidak terhingga itu. Walaupun begitu Adam AS tidak merungut atau mengadukan hal tersebut kepada Allah SWT.
Namun Allah SWT yang bijaksana lagi maha mengetahui akan perkara yang tersembunyi di dalam perasaan hambaNya. Allah SWT menciptakan teman bagi Adam untuk menghilangkan kesunyian dirinya itu.
Diriwayatkan, suatu masa ketika Adam AS sedang tidur dengan nyenyak, Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril untuk mencabut tulang rusuk Adam AS dari sebelah kiri. Ketika itu, Adam AS tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril
Dengan segala kuasa Allah yang maha besar, dengan hanya berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam. Hawa diciptakan sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kepada Adam AS yang dianugerahkan oleh Allah AWT.
Saat pertemuan Adam dan Hawa cukup romantis. Setelah diciptakan, Hawa duduk bersandar pada bantal lembut di atas tempat duduk bertatahkan emas dan batu permata, sambil terpesona memperhatikan seorang lelaki kacak yang sedang terbaring di hadapannya.
Adam yang kemudiannya terjaga amat terkejut apabila melihat ada makhluk manusia seperti dirinya di hadapan. Hawa dijadikan dengan bentuk dan paras rupa yang amat sempurna. Ia dihiasi dengan kecantikan, kemanisan, keindahan, kejelitaan, kehalusan,lemah-lembut, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan segala sifat-sifat keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang mempesona serta memikat hati setiap yang memandangnya.
Hawa adalah wanita tercantik yang menghiasai syurga, yang kecantikannya itu diwariskan turun temurun dan daripadanya lah maka wujud kecantikan kepada wanita-wanita di bumi. Adam dan Hawa saling melengkapi kerana Adam AS juga dikurniakan Allah SWT rupa paras yang indah, kacak dan tampan seolah-seolah segala keindahan setiap lelaki berada padanya.
Adam amat terpikat pada rupa paras Hawa yang jelita. Allah telah mewujudkan perasaan kasih yang suci di hati Adam AS serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta. Adam AS ditakdirkan jatuh cinta kepada wanita yang paling cantik daripada sekalian yang ada.
Ketika Adam pertama sekali bertanya siapakah gerangan si jelita di hadapannya, Hawa lantas menjawab bahawa dia adalah ciptaan Allah dan dijadikan untuk Adam. Adam menyedari bahawa nikmat itu adalah kurniaan Allah padanya dan mula menyeru Hawa supaya datang menghampirinya.
Namun, hawa yang memang diciptakan dengan perasaan malu telah meminta agar Adam yang datang padanya. Adam yang tidak ragu-ragu terus menghampiri Hawa dan sejak itulah terjadinya lumrah manusia bahawa wanita itu didatangi dan bukan mendatangi.
Tatkala Adam mendekati Hawa dan mula menghulurkan tangannya, maka terdengarlah suatu suara larangan yang meminta Adam menahan dirinya dan menghalalkan pergaulannya dengan Hawa melalui pernikahan dan mahar. Kedua-dua makhluk Allah itu akur dan menurut segala perintah Allah SWT.
Allah SWT. Yang Maha Pengasih menyempurnakan nikmat lahir dan batin kepada kedua hambaNya itu. Pernikahan Adam dan Hawa disaksikan para malaikat langit yang berkumpul di bawah pohon 'Syajarah Thuba' dan pernikahan Adam dan Hawa terjadi pada hari Jumaat yang suci.
Selesai upacara akad, dihantarlah Adam AS mendapatkan isterinya di istana syurga yang akan mereka diami. Namun Hawa menuntut haknya iaitu mahar yang dijanjikan sebelum membenarkan sentuhan Adam. Adam mula bertanya pada Allah apakah mahar yang harus diberikannya pada Hawa. Allah lantas memberitahu Adam bahawa mahar yang harus dihadiahkannya adalah selawat sebanyak sepuluh kali ke atas Nabi yang bakal dibangkitkan, penutup serta penghulu segala Rasul iaitu Muhammad.
Setelah Adam mengucapkan selawat yang diperintahkan kepadanya, maka Allah menghalalkan Hawa untuk dirinya sebagai isteri yang mendampinginya di taman syurga. Entah berapa lama keduanya berada di syurga, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
Allah memberi segala nikmat buat mereka dan membenarkan mereka makan serta menikmati apa jua yang diingini kecuali satu pohon yang diperintahkan Allah agar mereka jauhi kerana dikhuatiri mereka berdua akan menjadi golongan yang zalim sendainya termakan buah dari pohon berkenaan.
Menurut kisahnya, iblis telah menghasut Hawa supaya memujuknya memakan buah daripada pohon tersebut yang dikenali sebagai buah Khuldi. Apabila mereka memakannya, maka kemaluan yang terselindung daripada mereka selama ini menjadi nyata.
Kerana kasihnya pada Hawa, maka Nabi Adam AS memetik buah tersebut dan memakannya di syurga atas pujukan isterinya yang amat dicintai. Akibatnya, kedua-dua mereka diusir dari syurga lalu diturunkan ke dunia sebagai hukuman oleh Allah S.W.T .
Menurut riwayat sebenar kisah ini, Adam dan Hawa bertaubat dan menyesali perbuatan mereka serta menangis tanpa henti selama 60 tahun kerana terusir dari nikmat syurga yang tidak dapat diperolehi di dunia.
Ketika diturunkan ke bumi, Nabi Adam AS terpisah jauh dari isterinya Hawa. Adam diturunkan ke satu tempat pergunungan yang tinggi di muka bumi. Mereka terpisah begitu lama sebagai hukuman Allah dan menjalani hidup di bumi yang luas seorang diri.
Adam dan Hawa tidak pernah berhenti mencari antara satu sama lain. Dengan petunjuk Allah SWT dan bimbingan Malaikat Jibril, Nabi Adam AS dan Hawa akhirnya bertemu di Jabal Rahmah, di padang Arafah. Maka Jabal Rahmah di Arafah menjadi satu tempat pertemuan bersejarah yang menemukan cinta suci Adam dan Hawa.
Setelah bertemu dengan isterinya Hawa di Jabal Rahmah, Nabi Adam A.S mengajak isterinya ke tempat dia diturunkan di bumi dan membina keluarga di tempat ini. Keturunan Adam dan Hawa inilah yang masih berada di bumi hingga kini.
Begitulah hebat dan agungnya kisah cinta suci Adam dan Hawa untuk tatapan kita semua dalam mengenal erti sebenar kasih sayang. Inilah kisah sebenar bagaimana wujudnya perasaan cinta, kasih dan sayang sesama manusia.
"Hawa diciptakan daripada rusuk Adam, bukan daripada kepalanya untuk dijunjung, bukan daripada kakinya untuk dijadikan alas, tetapi daripada sisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat dengan lengannya untuk dilindungi, dekat dengan hatinya untuk dicintai"
-CintaKasih PMS-
No comments:
Post a Comment